Saturday, September 4, 2010

Tahun ni bercuti di mana..?

Nampaknya cuti sekolah dah pun bermula semalam. Universiti pun dah mula tutup. Ramai pelajar dah pun mula berehat di rumah masing-masing ataupun masih juga ada yang masih lagi merayau mencari kelengkapan untuk berhari raya.

Dalam masa bersiap-siap ni janganlah pula sampai berlebih-lebihan ye. Bersederhana adalah lebih baik daripada melakukan pembaziran yang kelak akan memberikan impak yang lebih buruk di masa hadapan.

Minggu hadapan ni jalan akan semakin sesak terutamanya jalan-jalan di pusat bandaraya, lebuhraya keluar dari pusat bandar dan jalanraya untuk masuk ke jalan kampung-kampung terutamanya di bahagian selatan dan utara lebuhraya. Tak lupa juga lebuhraya pantai timur.

Sekarang adalah masa yang sesuai untuk memeriksa kenderaan anda untuk perjalanan jauh walaupun agak terlewat. Ingat, anda akan membawa aset anda yang paling berharga sekali di dalam dunia iaitu diri dan keluarga anda. Kebanyakkan kemalangan yang berlaku di jalan-jalan raya adalah berpunca dari faktor individu bukannya faktor teknikal.

Beberapa perkara perlulah dititikberatkan sebelum, semasa dan setelah sampai ke destinasi. Perkara ini telah banyak kali diulang dan perlu diingatkan setiap masa untuk kebaikkan bersama.


Pastikan anda dalam keadaan sihat fizikal dan mental untuk perjalanan jauh.


Perjalanan semasa musim perayaan adalah lebih mencabar daripada perjalanan biasa anda ke tempat kerja seharian. Walaupun anda mahir dalam selok belok memandu ke tempat tinggal anda, perlu difikirkan perjalanan jauh yang anda tidak pasti keadaannya.

Pastikan anda mengenal kenderaan anda sepenuhnya. Berapa keupayaan kenderaan anda, kapasiti penumpang dan berat, penggunaan minyak atau gas, ketahanan kenderaan dan keupayaan anda untuk memandu.

Dapatkan rehat secukupnya dan periksa kenderaan anda sepenuhnya terutama pada titik-titik kritikal pada kenderaan. Berikut adalah beberapa perkara yang penting untuk diperiksa;

1.  Periksa enjin. Pastikan enjin dalam keadaan baik dan semuanya telah diselenggara dengan sempurna termasuk minyak enjin, sistem penyejuk, sistem stering, bendalir brek, tali sawat (belting) dan semak bila tarikh akhir anda menukar tali sawat pemasa enjin (timing belt). Rujuk manual penyelenggaraan kenderaan jika ada atau servis kenderaan anda di bengkel kegemaran anda.

2.  Periksa keadaan brek dan brek tangan. Pandu di kawasan yang selamat dan lapang untuk menguji brek. Pandu pada kelajuan 60km/j dan tekan brek untuk memastikan kenderaan anda boleh berhenti dengan sempurna. Juga uji brek tangan kenderaan dengan cara yang sama. Penggunaan brek tangan boleh menghentikan kenderaan anda dalam jarak 50-100 meter dengan kelajuan 60km/j.

3.  Periksa alur pada tayar. Ambil pembaris dan kalau anda tiada pembaris, bolehlah pinjam pembaris anak anda yang bersekolah. Jika alur tayar kurang dari 3mm, anda perlulah bersedia untuk menukarkan atau memusingkan tayar anda mengikut manual pengguna.

4.  Periksa juga tekanan angin pada tayar simpanan dan keadaan tayar simpanan. Jika boleh, jangan gunakan tayar simpanan yang terlalu uzur kerana anda memerlukannya sentiasa bersedia. Jangan pula nanti tayar simpanan tidak boleh digunakan ketika ianya diperlukan.

5.  Dah ada tayar simpanan, jangan pulak terlupa memastikan peralatan asas membaiki kenderaan tersedia di ruang simpanan. Termasuk jack, spanar pembuka tayar, spanar kecil bersaiz 10-16mm, playar, test-pen dan beberapa peralatan kecil yang perlu. Segitiga keselamatan atau kon perlu juga dibawa bersama-sama dengan lampu suluh dengan bateri penuh dan beroperasi sepenuhnya.

6.  Periksa keadaan pengelap cermin hadapan dan belakang termasuk tangki simpanan air bagi pembersih cermin. Ianya penting kerana cuaca tidak diduga ketika ini. Pastikan anda telah menukar pengelap cermin sekurang-kurangnya sebulan sebelum perjalanan kerana purata tempoh hayat pengelap cermin adalah 3 bulan sebelum getahnya menjadi keras dan tidak efisyen.

7.  Periksa pendingin udara kenderaan. Ianya adalah penting untuk keselesaan dan keselamatan. Jika anda memandu di waktu malam atau di waktu hujan dengan penumpang dalam kenderaan, suhu boleh meningkat dan menyebabkan kabus di bahagian dalam kabin yang menghalang penglihatan anda.

8.  Periksa semua lampu hadapan, belakang, lampu brek dan brek ketiga, lampu isyarat depan, belakang, kanan dan kiri, lampu kabin dan lain-lain sambungan aksesori kenderaan. Pastikan semua berkeadaan baik dan tidak menyebabkan litar pintas. Beli beberapa unit fius untuk simpanan dan beberapa biji mentol untuk persediaan. Juga jangan lupa mentol lampu hadapan dan simpan di dalam peti peralatan untuk langkah berjaga-jaga. Banyak bengkel yang akan tutup pada hari perayaan.

9.  Akhir sekali, apabila anda dan kenderaan anda telah betul-betul bersedia untuk perjalanan jauh, pastikan anda mengetahui jalan-jalan untuk ke destinasi termasuk jalan-jalan alternatif yang lain untuk kemudahan anda. Penggunaan GPS juga adalah bagus bukan sahaja untuk perjalanan kali ini tetapi untuk jangka masa panjang. Bagi yang telah mempunyai GPS, jangan simpan di dalam bonet kenderaan. Pastikan peta telah dikemaskini ye.

10.  Jadualkan perjalanan anda sebaik mungkin dan berhenti rehat dengan kerap bagi memastikan keselesaan anda dan penumpang. Mungkin anda boleh bertahan tetapi anak-anak mungkin tidak dan ianya akan mengganggu konsentrasi anda kelak. Pastikan jugak jika boleh, ada orang lain di dalam senarai penumpang yang boleh memandu dan menggantikan anda jika perlu.


Tips semasa memandu di musim perayaan.

Sebagai seorang pemandu seperti anda juga, saya ingin berkongsi beberapa tips untuk keselamatan anda, penumpang kenderaan anda dan juga pengguna jalan raya yang lain.

1.  Kenal kenderaan dan diri anda sepenuhnya. Anda perlu mengawal kenderaan dan bukan kenderaan atau orang lain yang mengawal anda. Pastikan anda tahu saiz kenderaan anda, biasa dengan alatan kawalan kenderaan dan keupayaan kenderaan anda sendiri.

2.  Patuhi hadlaju yang telah ditetapkan. Jalanraya utama akan dikurangkan hadlaju maksima dari 90kmj kepada 80kmj. Patuhi juga papan tanda keselamatan dan destinasi yang dipasang di tepi jalan.

3.  Jangan memandu terlalu perlahan atau terlalu laju. Memandu terlalu perlahan akan menyebabkan pemandu belakang menjadi marah dan tidak sabar selain boleh menjadi pencetus kemalangan maut. Memandu terlalu laju membahayakan diri, penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.

4.  Jangan memotong barisan kenderaan. Perbuatan ini tidak bermoral dan bersifat kurang ajar kerana pemandu lain boleh beratur, mengapa anda tidak..? Selain itu perbuatan memotong barisan ini menyebabkan keadaan jalan semakin sesak. Fikirkan bahawa bukan anda sendiri yang ingin cepat sampai ke destinasi. Pemandu lain juga ingin cepat sampai ke destinasi masing-masing.

5.  Jika anda tidak mampu memandu di waktu malam kerana masalah kesihatan atau penglihatan, ubah jadual memandu di waktu siang dan pastikan anda sampai ke destinasi sebelum malam.

6.  Jika memandu di waktu siang, lebih baik jika anda mempunyai cermin mata khas untuk memandu kerana keadaan jalan yang terang dan menyilaukan. Pastikan juga pendingin udara beroperasi dengan baik untuk keselesaan anda.

Semoga beberapa perkara di atas boleh membantu anda memastikan perjalanan balik kampung yang selesa, selamat dan menyeronokkan. Mulakan dengan Bismillah semoga perjalanan diberkati. Selamat bercuti, selamat memandu dan semoga sampai ke destinasi dengan selamat.






Zaren Enterprise (Malaysia)
http://www.zaren.my (Zaren Property Classifieds)
http://www.iamNumberTwo.net (I'm Number 2, Not Number 1)

http://AllAboutPropertyMalaysia.blogspot.com (All About Property in Malaysia)
http://malaysiahotlist.blogspot.com (My Favorite Handpicked Hot List)

Follow Me On FacebookTwitterGoogleBlogger


No comments:

Post a Comment

I'm Number 2

↑ Grab this Headline Animator

Networked Blog