Monday, August 30, 2010

Sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke 53

Sempena nak menyambut hari ulangtahun Kemerdekaan Malaysia ke 53 ini ingin pulak nak sambung sikit untuk sembang petang. Tak sampai pun 12 jam lagi, detik tengah malam bermulanya 31 Ogos 2010 dan pada waktu yang sama kita akan mengulangi semula peristiwa bersejarah Kemerdekaan Malaysia dengan menaikkan Jalur Gemilang diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan, Negaraku.

Tetapi seringkali juga kita lihat kepincangan yang berlaku dalam masyarakat. Perkara yang perlu diperbetulkan. Perkara yang perlu diubahbaikkan. Perkara yang perlu diberikan perhatian.

Kebelakangan ni banyak sangat terdengar isu-isu berkenaan dengan keruntuhan moral. Perhubungan luar nikah hingga melahirkan anak. Jenayah yang berleluasa. Jiran yang saling tidak mengenali antara satu sama lain. Kurang rasa hormat kepada orang yang lebih tua. Rasa benci dan tidak hormat pada pemimpin, agama, bangsa dan negara dan banyak lagi.

Terus terang dinyatakan bahawa kadangkala aku pun ada juga buat silap. Takkan ada seorang individu pun yang sempurna kecuali yang dikehendaki-Nya. Sentiasa perlu diperbaiki dari masa ke semasa.

Sedangkan jika kita membeli rumah yang cukup cantik, mewah dan kukuh buatannya, jika tidak dijaga dan dipulihara dengan baik, pasti takkan bertahan lama dan buruk rupa bentuknya.

Kalau nak diceritakan satu-persatu perkara yang disebutkan kat atas tadi, rasanya penat nak membaca. Aku pun penat nak menulis. Jadinya, aku pilih satu topik je untuk kali ni yang bersempena dengan Hari Kemerdekaan Malaysia ke 53.

Terdapat di antara masyarakat kita di Malaysia kini telah kurang mempunyai rasa cinta, sayang dan sentiasa menjaga martabat dan keunggulan bangsa dan negara sendiri. Perkara yang lebih menyedihkan lagi, rakyat Malaysia sendiri yang menanam rasa benci dan tidak hormat kepada pemimpin, agama, bangsa dan negara.

Sebagai contoh, tidak berapa lama sebelum ini terdapat video di dalam YouTube dan beberapa lagi rangkaian perkongsian video di internet menyiarkan tentang lagu kebangsaan kita iaitu NegaraKu dinyanyikan dengan cara songsang dan diubahsuai sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati pada ramai orang.

Terbaru sekali, semasa kemangkatan DYMM Sultan Iskandar, ada manusia yang menghamburkan kata-kata yang tidak sepatutnya disebut oleh warganegara Malaysia walaupun berlainan negeri. Kita masih lagi merupakan warganegara Malaysia walau di negeri mana sekalipun kita lahir atau tinggal.

Perkara ini jelas menunjukkan rasa tidak hormat pada pemimpin yang memimpin rakyat pelbagai bangsa dan agama. Walau apa bangsa dan agama sekalipun, jika rasa hormat itu masih ada lagi, maka tidak akan berlaku kacau bilau dan hidup lebih harmoni sesuai dengan tema yang dibawakan oleh Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Abdul Razak iaitu 1 Malaysia.

Selalu kita dengar dan lihat tema itu tetapi persoalannya, adakah kita menghayatinya..??

Kalau di Johor, setiap kali khutbah Jumaat ada dinyatakan pada awal khutbah menandakan ianya adalah amat penting untuk diberikan perhatian.

"Taatlah kepada Allah
Taatlah kepada Rasul
dah orang-orang yang berkuasa di kalangan kamu.
Jika berbantah-bantah atau berselisihan pada suatu perkara
maka kembalilah kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulnya.
Yang demikian adalah lebih baik untuk kamu
dan lebih elok pula kesudahannya."

Perkara ketiga yang ditekankan adalah taat kepada orang-orang yang berkuasa di kalangan kamu. Bukat terhad kepada pemimpin negara dan sebagainya sahaja. Termasuk juga kepada ibu bapa, guru, orang tua dan yang lain-lain kerana mereka lebih berpengalaman dan lebih berpendidikan serta lebih berkuasa atau diberikan kuasa oleh organisasi lain daripada diri anda. Juga dimaksudkan di sini adalah rasa merendah diri juga adalah penting.

Oleh itu, kesimpulan yang dapat aku buat untuk tulisan kali ni, hendaklah kita sentiasa menghormati antara satu sama lain tidak kira bangsa, agama atau warganegara negara lain.

Patuhilah undang-undang dan arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa tidak kira di mana pun anda berada. Hatta, jika seseorang itu bekerja sebagai pengawal keselamatan di pejabat sekalipun, perlulah dihormati dan dipatuhi arahannya kerana dia adalah orang yang menjalankan tugas dan berkuasa di kawasan jagaannya. Pengawal itu juga perlulah menghormati orang lain untuk dirinya dihormati dan disegani. Begitu juga dengan orang lain tidak kira bekerja di sektor apa sekalipun.

Jika ada kesilapan, tegur dengan cara yang terbaik dan jangan sekali-kali menghina atau menggunakan kata-kata atau perbuatan yang boleh menyinggung perasaan orang lain.

Dalam negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia ada 3 perkara utama yang langsung tidak boleh diganggu-gugat. Perkara tersebut adalah bangsa, agama dan sultan-sultan Melayu. Oleh itu, hendaklah kita bersama-sama memperbaikinya dan sama-sama menghormati antara satu sama lain untuk memastikan kemerdekaan negara kita akan kekal.






Zaren Enterprise (Malaysia)
http://www.zaren.my (Zaren Property Classifieds)
http://www.iamNumberTwo.net (I'm Number 2, Not Number 1)

http://AllAboutPropertyMalaysia.blogspot.com (All About Property in Malaysia)
http://myplace.zaren.my (Where I Hang Out Most Of The Time)

Follow Me On FacebookTwitterGoogleBlogger


1 comment:

I'm Number 2

↑ Grab this Headline Animator

Networked Blog